Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan Nor Azrina Surip @ Nurin Aina mengingatkan bahawa perjuangan untuk manfaat rakyat lebih utama berbanding perjuangan individu.
Dia berkata demikian ketika mengulas ketidakpuasan hati pemimpin akar umbi Umno Wilayah Persekutuan Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkaitan pengagihan jawatan dalam Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).
Bagaimanapun, timbul satu lagi isu berkaitan pengurusan pasar Ramadan di ibu kota pada tahun ini.
“Adalah penting untuk difahami bahawa apa yang lebih utama bukanlah perjuangan individu, tetapi perjuangan dalam memastikan manfaat kepada rakyat dipenuhi,” kata Nurin Aina.
“Justeru, tidaklah wajar sekiranya hanya kerana perjuangan individu seperti perjuangan persatuan penjaja pimpinan Datuk Gulam yang tidak dapat menguruskan Bazar Ramadan tahun ini dijadikan alasan untuk menafikan hakikat yang sebenar.”
Isu berkaitan itu tidak dihuraikan lanjut.

Bagaimanapun, Oktober tahun lepas, lima persatuan peniaga yang sebelum ini menguruskan pasar Ramadan di Kuala Lumpur menyerahkan urusan pengoperasian di 65 lokasi bazar kepada DBKL.
Gulam Muszaffar sebagai wakil mereka mendakwa tindakan itu tidak adil kepada persatuan.
Sementara itu, Gulam Muszaffar kelmarin meletakkan jawatan sebagai anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan kerana tidak puas hati dengan pengagihan jawatan dalam MPP.
Ketua Umno Batu mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan Zaliha Mustafa melanggar pekeliling Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) bahawa satu daripada enam sub zon dalam MPP harus diberikan kepada Umno.
Dalam kenyataan hari ini, Nurin Aina berkata garis panduan pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) telah diperkemas.
“Memahami keperluan representasi seimbang dalam konteks Kerajaan Madani, YB menteri telah mengarahkan semakan semula garis panduan pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP) agar kuota minimum untuk wakil BN di setiap subzon diperuntukkan,” katanya.
Dia juga menegaskan bahawa pelaksanaan dasar dan program kerajaan di Wilayah Persekutuan melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk Umno.
“Ia mungkin tidak dizahirkan dalam bentuk program politik kepartian, tetapi hakikatnya penglibatan itu berlaku dan terus disokong atas prinsip muafakat,” katanya.
Dia antaranya berkata lantikan politik di agensi strategik Wilayah Persekutuan turut melibatkan wakil BN.
Katanya, beberapa pemimpin Umno dan BN telah dilantik ke dalam agensi utama seperti Lembaga Penasihat DBKL, Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Perbadanan Putrajaya (PPj), Perbadanan Labuan (PL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
“Pelantikan ini dibuat secara merit dan melalui proses tapisan yang telus.
“Maka, adalah tidak adil untuk menyatakan seolah-olah tiada ruang langsung diperuntukkan,” katanya.