Polis Kuala Lumpur hari ini menyerahkan semula kertas siasatan berhubung kekecohan yang berlaku semasa operasi pengosongan 37 unit rumah teres di Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur pada 11 Sept lepas kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata sebelum ini, pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan berhubung insiden itu pada Rabu lepas namun dikembalikan semula dengan beberapa arahan lanjut.
“Kertas siasatan baharu akan diserah semula hari ini dengan cadangan pertuduhan bagi semua individu yang ditahan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat ini, polis menahan lapan lelaki termasuk dua yang terbaharu namun kesemuanya telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tamat tempoh reman.

Bagi membantu siasatan kes itu, Mohamed Usuf berkata seramai 67 individu telah diambil keterangan termasuk 52 saksi polis antaranya Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman, tiga pegawai Mahkamah Kuala Lumpur dan masing-masing dua anggota Angkatan Pertahanan Awam selain pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur.
Kekecohan itu telah Sulizmie Affendy cedera di kepala akibat terkena objek yang dibaling.
Berikutan itu pada Sabtu lepas, beberapa suspek lelaki berusia lingkungan 15 hingga 50 tahun telah ditahan dan siasatan awal mendapati mereka bukanlah penduduk kampung berkenaan, sebaliknya adalah ketua serta ahli sebuah pertubuhan.
– Bernama